Friday, August 27, 2010

KAEDAH MENGATASI BAHASA ROJAK



1)Pendidikan

semua pihak perlu menjadikan pendidikan sebagai wadah untuk membina sahsiah generasi kita, termasuk dalam soal penggunaan bahasa dan kecintaan kepada bahasa warisan bangsa, sekalipun kita tetap perlu mempelajari dan menguasai bahasa asing. Di sekolah dan di institusi pendidikan yang lain, penekanan perlu diberikan kepada penguasaan bahasa Melayu yang baku dan ragam bahasa rasmi, di samping penguasaan pelbagai ragam lain untuk keperluan dalam kehidupan. Pelajar mesti diberi kekuatan menggunakan bahasa yang baik, teratur dan berkesan.
Anggapan bahawa bahasa Melayu itu begitu mudah hingga tidak perlu dipelajari secara serius harus dikikis dalam kalangan pelajar. Guru pula patut dapat menjadi contoh yang baik dalam hal penggunaan bahasa yang teratur. Di maktab dan di universiti pun penguasaan bahasa yang baik perlu terus diberi penekanan. 

2)Penguatkuasaan pihak berwajib
pihak berwajib untuk memastikan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dihormati penggunaannya pada papan iklan, papan perniagaan, nama tempat, jalan, bangunan dan sebagainya. Bahasa Melayu hendaklah ditegaskan penggunaannya dalam surat rasmi, mesyuarat, ucapan, taklimat dan sebagainya. Majlis rasmi di peringkat kebangsaan perlu dilangsungkan dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Jika ada keperluan menggunakan bahasa asing atas sebab tertentu yang munasabah, maka bahasa Melayu mestilah diutamakan, baik dalam pengacaraan majlis, dalam ucapan dan juga pada latar pentas dan sekitaran majlis.

3)Dewan bahasa dan pustaka.
Dewan Bahasa dan Pustaka telah menyerahkan draf Garis Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Urusan dan Majlis Rasmi kepada Menteri Pelajaran dan diharapkan agar garis panduan itu dapat diluluskan oleh Jemaah Menteri sebagai panduan penggunaan bahasa yang baik, sama ada daripada sudut pengutamaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi mahupun daripada sudut mutu bahasa yang digunakan.
Mutu bahasa yang digunakan dalam semua bidang pentadbiran hendaklah dikawal dengan tegas. Dalam penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu, badan atau agensi yang diberi amanah perlu tegas. Sebagai contoh, Undang-undang Kecil Pengiklanan di Tempat Awam mensyaratkan pengutamaaan bahasa Melayu dan bahasa Melayu yang digunakan mestilah yang betul, malah disyaratkan supaya mendapat pengesahan DBP lebih dahulu. 

4)Bidang penyiaran

Bidang penyiaran pula, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia  telah bertanggungjawab memastikan garis panduan yang mensyaratkan 60% siaran mestilah dalam bahasa Melayu dipenuhi oleh stesen radio dan televisyen swasta dan di samping itu mestilah dalam bahasa Melayu yang terkawal.DBP  juga telah menawarkan khidmat nasihat bahasa, memberikan kursus bahasa terus-menerus, mengirimkan surat teguran dan juga memberikan anugerah.